Adab Berniaga Dalam Islam untuk Murah Rezeki

Menceburi bidang perniagaan merupakan salah satu sunnah Rasullullah. Namun, dalam kita umat islam mengejar kekayaan daripada amalan sunnah ini, kadang kala ada sebahagian daripada kita terlupa akan adab dalam menjalankan perniagaan.

 

img_3333

Pengabaian terhadap adab ini tentunya mendatangkan tanda tanya. Adakah sumber rezeki yang diperolehi itu benar-benar bersih atau sebaliknya?. Oleh itu mari sama-sama kita hayati lima (5) adab dalam menjalankan perniagaan menurut islam supaya rezeki yang dikurniakan kepada kita diyakini mendapat redha Allah S.W.T.

1) Niat

Niat adalah perkara yang paling asas dalam memulakan setiap ibadah baik yang wajib mahupun yang sunat. Dengan niat menjalankan perniagaan kerana Allah S.W.T dan untuk mencari rezeki yang halal, ianya dapat menghindarkan diri daripada melakukan perkara yang boleh membawa kepada rezeki yang haram dan dimurkai oleh Allah S.W.T.

2) Tidak Menjual Barang Yang Diharamkan

Sebagai seorang Islam yang berakal, kita ditegah mendekati perkara-perkara yang diharamkan oleh syariat Islam. Pendek kata perkara yang boleh mendatangkan keburukan wajib dihindari. Sebagai contoh menghindari barang-barang yang diharamkan seperti dadah, arak, majalah porno dan lain-lain. Bersabda Rasulullah S.A.W dalam sebuah hadis, maksudnya:

“Perkara yang halal itu jelas dan perkara yang haram itu juga jelas, di antara kedua-duanya adalah syubhah,” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Begitu juga dalam urusan jual beli. Haram bagi kita menjual barangan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.

rxuvzt1

3) Mematuhi Perjanjian

Dalam setiap perniagaan, ada perjanjian bagi memutuskan persetujuan antara dua pihak (pembeli dan penjual). Dalam syariat Islam, ia dipanggil akad jual beli. Dalam hal ini kita dilarang melanggar perjanjian yang telah disepakati bersama kerana ia boleh membawa kepada kerugian atau hilang kepercayaan pada masa akan datang.
Situasi ini sering berlaku dalam skop perniagaan yang mencecah ratusan ribu mahupun jutaan ringgit yang mana memerlukan perjanjian serta sikap keterbukaan berdasarkan isi kandungan perjanjian.

Allah S.W.T telah berfirman dalam ayat al-Quran, Surah Al-Maidah, ayat 1 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah akad-akad itu”.

Lihatlah betapa pentingnya memenuhi perjanjian sehingga pada awal permulaan surah sudah ditegaskan oleh Allah S.W.T. Betapa pentingnya kita menjaga isi kandungan perjanjian ini. Janganlah kita  terikut-ikut sikap bangsa Yahudi yang sering kali mengingkari perjanjian yang ada sehingga dilaknat oleh Allah S.W.T.

download-1

4) Bersikap Jujur

Jujur, bersikap terbuka dan tidak menyembunyikan kecacatan yang terdapat pada barangan yang diniagakan ketika menjualnya merupakan sifat yang terpuji.

Sikap amanah yang terdapat pada diri penjual memberi tanda kepuasan kepada si pembeli. Tidakkah ini memberi tanda bahawa sifat mahmudah sudah ada di dalam jiwa kita?

Dalam hal ini, Rasulullah S.A.W ada bersabda:

“Seorang Muslim itu adalah saudara Muslim lainnya, maka tidak halal bagi seorang Muslim membeli daripada saudaranya suatu pembelian yang ada cacatnya kecuali dijelaskan terlebih dahulu.” (Hadis riwayat Ahmad).

babas

5) Menghindari Riba

Perkara yang tidak terlepas ketika urusan jual beli adalah amalan riba. Sudah menjadi sinonim, perniagaan sering kali terlibat dengan riba sedangkan di dalam al-Quran, Allah S.W.T menegah perkara ini berlaku. Firma Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 275.

“Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli dan mengharamkan riba”.

Inilah kayu ukur kita dalam menjalankan urusan jual beli dengan sekalian manusia di alam perniagaan. Inilah yang menyebabkan setiap perniagaan kita hilang keberkatannya hanya kerana kita “memandang sebelah mata”, sedangkan kita sudah ada disiplin ilmu dalam bab fiqh muamalat dalam hal ini.

Semoga bermanfaat!. Untuk informasi terkini dalam pelbagai isu sila layari media.news.blog.